Marah Biar Bertempat.
Ikut Panduan Al-quran, sunnah Rasulullah.
NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.
Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.
Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.
Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.
Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW.
Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.
Menurut Imam Al-Ghazali, punca-punca menyebabkan sifat marah:
rasa bangga diri (sombong)
takjub kepada peribadi sendiri
suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas
suka bercakap perkara sia-sia
suka membuat fitnah
suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara
khianat
tamak kepada harta dan pangkat
tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.
Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.
Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.
Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.
Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.
Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur."
Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.
Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.
Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.